Barber berjiwa seni, Sethurram guna muzik dan kemahiran gunting rambut satukan komuniti

Sebagai seorang peminat muzik dan suka menghiburkan orang ramai, Sethurram Thawaness, 28, melihat seni sebagai jambatan untuk mendekatkan dirinya dengan masyarakat.
Namun minatnya tidak terhenti pada muzik semata-mata, dia turut mempunyai kemahiran menggunting rambut dan kini mengusahakan sebuah kedai gunting rambut di Pulau Pinang.
Anak kelahiran Bagan Serai itu membuka perniagaan bukan kerana mengejar keuntungan semata-mata, tetapi sebagai usaha memberi kembali kepada komuniti dan membina hubungan dengan lebih ramai orang.
Sejak tiga bulan lalu, Sethurram memperkenalkan perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah. Bagi pelanggan kurang berkemampuan atau Orang Kelainan Upaya (OKU), dia mengenakan bayaran jauh lebih rendah daripada harga di kedainya kerana niat utama adalah untuk membantu.
“Jika kita memotong di rumah, kita akan mengenakan caj sekitar RM50-RM60. Jika OKU, mereka boleh bayar setengah harga, RM25 atau RM10. Kadang-kadang tergantung jika kita pergi untuk kos pengangkutan.”
Selain menggunting rambut, Sethurram turut aktif bermain gendang sehinggakan pernah menghasilkan lagu tradisional serta lagu Hari Raya untuk menghiburkan pelanggan pelbagai bangsa di kedainya.
“Baru-baru ini saya dah keluarkan satu lagu. Lagu Joget Raya Kerana ramai kawan-kawan saya adalah orang Melayu. Kerana di industri barber, ramai orang Melayu sekarang. Jadi, saya akan menyeronokkan mereka.
“Kadang-kadang, mereka datang ke kedai, mereka akan bertanya, bro, mainlah sikit. Seperti kita. Jadi, saya main dhol dengan mereka. Ada lagu, menyanyi. Jadi, saya cuma mencuba. Dari situ, saya mula melakukannya,” katanya.
Sebagai anak India yang membesar dalam komuniti majmuk, Sethurram percaya muzik dan layanan mesra adalah medium terbaik merapatkan masyarakat.
Beliau kini merancang untuk memperluas khidmat gunting rambut ke lebih banyak pusat kebajikan dan berhasrat menubuhkan pasukan sukarelawan tetap dalam industri tersebut pada masa depan.



