Bekas juru X-ray dakwa hidap kanser tahap empat dari tempat kerja, UM nafi langgar SOP

Seorang bekas jururadiografi, Nur Fauzia Abdul Razak, 35, mendakwa menghidap kanser Hodgkin lymphoma, tahap empat akibat pendedahan radiasi di tempat kerjanya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurutnya, sepanjang bertugas di Unit Perubatan Nuklear, beliau sering terdedah kepada radiasi tanpa perlindungan mencukupi serta berlaku pelanggaran SOP, termasuk penggunaan mesin tanpa kawalan keselamatan yang ketat
Dakwaan itu turut menyebut risiko sama boleh menjejaskan kakitangan lain.
Nur Fauzia kini dibersarakan awal dan telah menjalani lebih 20 kitaran kemoterapi, dengan mendakwa penyakit itu berpunca daripada kesan pendedahan radiasi jangka panjang.
Bagaimanapun, Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan operasi di PPUM mematuhi piawaian keselamatan serta undang-undang berkaitan perlindungan radiasi.
Menurut UM, semua pekerja diwajibkan memakai dosimeter, tahap pendedahan radiasi berada di bawah had ditetapkan, dan pemeriksaan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan mendapati tiada pelanggaran prosedur.




