JPJ perlu hentikan ‘roadblock’, ANPR akan ambil alih kerja pemeriksaan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke arah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tidak lagi melaksanakan sekatan jalan raya secara fizikal yang sering menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Khususnya apabila lorong jalan dikecilkan kepada satu atau dua lorong, yang mana ia menyebabkan gangguan trafik dan masa menunggu yang panjang kepada pengguna jalan raya.
Beliau berkata, kaedah baharu yang boleh dilaksanakan adalah berteraskan pengintegrasian data serta penggunaan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) yang membolehkan pemeriksaan kenderaan dijalankan tanpa perlu memberhentikan kenderaan di jalan raya.
Tambahnya, integrasi itu bukan sahaja memudahkan proses kutipan tol, malah membolehkan pihak berkuasa mengesan status cukai jalan, perlindungan insurans serta mengenal pasti kenderaan curi atau tidak berdaftar secara automatik.



