Zizan Razak tegur netizen, berpada-pada menggunakan gambar wajahnya

Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak tampil menegur orang ramai supaya tidak menyalahgunakan gambar wajahnya yang disunting sehingga boleh mengelirukan masyarakat.
Perkara itu dikongsikan menerusi media sosialnya, selepas beberapa gambar edit wajahnya tular sejak beberapa hari lalu.
Zizan atau Mohd. Razizan Abdul Razak, 42, berkata dia tidak menghalang orang ramai bergurau, namun meminta supaya tidak melampaui batas atau menyentuh isu sensitif termasuk berkaitan hukum agama Islam.
Menurutnya, ada juga pihak yang menggunakan wajahnya untuk mempromosikan produk tanpa meminta kebenaran dan tanpa membuat sebarang bayaran. Zizan menyifatkan tindakan itu tidak wajar serta menggesa peniaga berniaga secara halal.
Dalam masa sama, Zizan menegaskan dia seorang yang ‘sporting’ dan boleh menerima jenaka, tetapi setiap perkara perlu ada batasnya agar tidak menjejaskan dirinya atau mengelirukan orang ramai.




