Bimbing, bukan hukum pelaku seks bawah umur – Nancy

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual secara suka sama suka perlu dilindungi, dibimbing dan dipulihkan, bukannya dihukum.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendekatan kaunseling, pendidikan dan sokongan tersusun lebih penting bagi memastikan kesejahteraan serta pembangunan masa depan kanak-kanak terlibat.
Beliau menjelaskan perundangan sedia ada memberi penekanan kepada intervensi, perlindungan dan pemulihan sama ada dalam komuniti atau institusi seperti asrama akhlak, bagi memastikan kanak-kanak menerima bimbingan sewajarnya.
Nancy menegaskan orang dewasa memikul tanggungjawab utama melindungi kanak-kanak, manakala kes eksploitasi atau penderaan tetap akan dikenakan tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku.
Katanya lagi, isu ini tidak boleh ditangani semata-mata melalui undang-undang, sebaliknya memerlukan kesedaran, kekuatan institusi keluarga serta pembabitan komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak.



