Ceroboh kandang zoo di UK, lelaki maut dibaham harimau

Seorang lelaki maut selepas dibaham harimau di Yorkshire Wildlife Park, South Yorkshire, United Kingdom, pada Sabtu, selepas dia memasuki kandang haiwan itu kira-kira jam 1.35 tengah hari.
Menurut polis South Yorkshire, lelaki itu mengalami kecederaan parah dalam serangan berkenaan. Pasukan kecemasan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia, manakala identitinya belum didedahkan kepada umum.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman yang menunjukkan lelaki berkenaan berhadapan dengan harimau sebelum diserang. Zoo berkenaan ditutup selepas pengunjung dipindahkan dan masih ditutup pada Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Pada Ahad, pihak zoo mengesahkan harimau Amur terancam bernama Altai berada dalam keadaan selamat dan tidak akan dibunuh susulan kejadian itu. Pihak zoo turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.




