Kanak-kanak lima tahun maut nahas enam kenderaan, pemandu BYD dikesan polis

Kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Sabtu lalu, mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas kereta dinaiki bersama bapanya dirempuh dari belakang.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, mangsa yang duduk di tempat duduk belakang Perodua Bezza meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal ketika trafik bergerak perlahan.
Perodua Bezza itu dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah BYD Seal sebelum berpusing ke lorong kanan dan merempuh tiga kenderaan lain. Pemandu Bezza dan penunggang motosikal berusia 33 tahun turut cedera.
Pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian berjaya dikesan polis.
Lelaki itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara akibat gegaran otak dan masih dalam pemantauan pegawai penyiasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.




