Dunia

Indonesia pindahkan lapan orang utan, diselamatkan daripada kebakaran hutan

Lapan ekor orang utan Borneo yang diselamatkan daripada kebakaran hutan di Kalimantan Barat, Indonesia, dipindahkan ke Hutan Lindung Batu Nyambu pada 9 Oktober lalu bagi memastikan keselamatan haiwan berkenaan.

Haiwan itu terdiri daripada tiga pasangan ibu dan anak serta dua orang utan jantan muda.

Mereka diselamatkan dari kawasan Ketapang dan Kayong Utara antara Ogos hingga September lalu selepas kebakaran memusnahkan habitat asal dan menyebabkan mereka terperangkap di kawasan ladang.

Sebelum dipindahkan, kesemua orang utan menjalani pemeriksaan kesihatan, rawatan dan pemantauan di pusat pemulihan milik Yayasan IAR Indonesia (YIARI) di Sungai Awan, Ketapang.

Kesemuanya dilaporkan sihat dan masih menunjukkan tingkah laku semula jadi.

Hutan Lindung Batu Nyambu dipilih kerana mempunyai keluasan kira-kira 23,000 hektar, sumber makanan dan air yang mencukupi serta laluan yang menghubungkan kawasan hutan berdekatan.

Menurut pihak berkuasa pemuliharaan Indonesia, sebanyak 46 orang utan telah diselamatkan daripada ancaman kebakaran hutan antara Ogos hingga 9 Oktober lalu, manakala usaha melindungi habitat spesies terancam itu masih diteruskan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker