China perkukuh senjata nuklear, bina kemudahan pelancar peluru berpandu baharu

China dilaporkan sedang memperluaskan kemudahan ketenteraan nuklearnya secara besar-besaran di wilayah Xinjiang dan Gansu menerusi pembinaan puluhan tapak pelancar peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).
Imej satelit yang dianalisis menunjukkan lebih 80 tapak pelancar, bunker bawah tanah, sistem komunikasi serta pangkalan berbentuk oktagon sedang dibina di kawasan gurun barat laut negara itu bagi memperkukuh keupayaan serangan balas nuklear Beijing.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha besar China memodenkan angkatan tenteranya ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat dan isu Taiwan terus memuncak.
Pembinaan baharu itu turut melibatkan jalan raya khas, sistem komunikasi satelit dan kemudahan pertahanan udara yang dipercayai direka untuk memastikan aset nuklear China kekal beroperasi walaupun diserang terlebih dahulu.




