Cuaca cecah 36 darjah celsius, cuaca panas dijangka kekal hingga hujung Julai

Beberapa kawasan di negara ini kini mencatatkan suhu panas sehingga 36 darjah Celsius, namun keadaan masih dalam kategori biasa dan belum mencapai tahap gelombang haba luar biasa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan cuaca panas ini akan berterusan sehingga akhir bulan, dengan kebanyakan kawasan diramal menerima taburan hujan yang sedikit dalam tempoh seminggu akan datang.
Fenomena ini berpunca daripada pembentukan siklon tropika aktif di barat Lautan Pasifik berhampiran Filipina dan Laut China Selatan yang turut mengganggu corak hujan di negara ini.
Walaupun cuaca kering dan panas, operasi pembenihan awan di kawasan utara Semenanjung seperti Kerian, Perak belum dapat dilaksanakan berikutan faktor cuaca semasa yang tidak sesuai.
Buat masa ini, tiada ramalan berlakunya cuaca panas ekstrem kerana indeks El Nino Ayunan Selatan (ENSO) dijangka kekal pada tahap neutral sehingga hujung tahun.




