Reputasi rasuah pegawai lama undang keberanian warga asing cuba lolos masuk ke Malaysia

Kemasukan warga asing, terutama dari Bangladesh dan Indonesia, secara tidak sah melalui pintu masuk udara dipercayai berpunca daripada reputasi buruk yang ditinggalkan pegawai terdahulu yang terlibat dengan rasuah.
Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), Jimmy Leong Wie Kong yang bercakap menerusi Free Malaysia Today (FMT) mendakwa, tindakan segelintir pegawai imigresen yang sebelum ini memudahkan kemasukan warga asing melalui ‘saluran khas’ tanpa pemeriksaan rapi.
Ini sedikit sebanyak telah membina kepercayaan dalam kalangan sindiket dan ejen luar bahawa sempadan Malaysia mudah untuk ditembusi.
Reputasi ini kemudiannya tersebar luas dan menjadi modal utama kepada ejen serta sindiket luar negara untuk menghantar lebih ramai warga asing masuk ke Malaysia.
Ia meskipun dengan alasan meragukan seperti melancong tanpa wang yang mencukupi atau tempahan penginapan yang mencurigakan.
Pendedahan ini timbul susulan laporan penolakan kemasukan 131 warga asing di KLIA baru-baru ini, yang dilihat sebagai antara usaha pihak berkuasa dalam memperketat kawalan dan menutup ruang yang selama ini dimanipulasi akibat kelemahan dan salah guna kuasa masa lalu.




