Lelaki terlibat nahas tiga kenderaan putus tangan kanan di Kuala Langat

Seorang lelaki cedera parah sehingga pergelangan tangan kanan putus selepas terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom, Kuala Langat pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, memaklumkan kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu membabitkan sebuah motosikal, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia lingkungan 20-an keluar dari simpang Jalan Akasia sebelum dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki sebaya, menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan.
Kereta terbabit kemudian melanggar penghadang besi, berpusing ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah MPV yang dipandu peniaga berusia 60 tahun.
Mangsa turut mengalami kecederaan pada kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Banting, sebelum menjalani pembedahan pemotongan tangan kanan. Keadaannya kini stabil, manakala pemandu kereta dan MPV tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis atau pegawai penyiasat, Inspektor Mazrol Mohd Din.




