Dah 3 kali ditahan, warga Bangladesh tak serik buat job ulat teksi di KLIA

JPJ Selangor menahan dua warga Bangladesh yang didakwa aktif menawarkan perkhidmatan ‘ulat teksi’ kepada penumpang di KLIA.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata seorang daripada mereka ialah lelaki 64 tahun yang sudah tiga kali ditahan sebelum ini, manakala seorang lagi berusia 27 tahun dan pernah ditahan dua kali atas kesalahan sama.
Dalam kes pertama, suspek warga emas itu menggunakan kereta sewa jenis Proton Waja untuk mencari pelanggan, termasuk dua penumpang Bangladesh yang ditawarkan tambang RM140 ke destinasi sekitar Selangor.
Dalam tangkapan berasingan, seorang lagi suspek dikesan cuba menarik tujuh pelancong Brunei dan meminta tambang RM250 untuk perjalanan ke sebuah hotel sekitar KLCC.
JPJ menegaskan kegiatan ini serius kerana melibatkan warga asing yang beroperasi tanpa lesen dan menggunakan kenderaan tidak berdaftar bagi tujuan komersial.
Azrin memberi peringatan bahawa pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun, manakala penumpang turut dinasihatkan hanya menggunakan perkhidmatan sah melalui kaunter KLIA atau aplikasi e-hailing.




