“Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini” – Kenyataan pemimpin DAP buat UMNO panas hati

Hantaran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai “satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini” mencetuskan kemarahan pemimpin UMNO dan menambah ketegangan politik dalam kerajaan perpaduan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengingatkan semua pihak agar tidak meraikan penderitaan orang lain, menegaskan bahawa kehidupan bersifat kitaran dan tiada pemimpin yang kebal daripada kesilapan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Razlan Rafii menyifatkan kenyataan Yeo sebagai biadab, manakala Exco Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid turut mengecam sikap pemimpin DAP itu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh pula meluahkan rasa tidak puas hati sehingga menggesa UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain Yeo, seorang lagi ahli Parlimen PKR iaitu Wong Chen juga mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini.
“Hidup keadilan,” kata ahli parlimen Subang itu sambil memuat naik berita bahawa Najib gagal dalam permohonannya untuk ditempatkan di bawah tahanan rumah.




