Demi arwah bapa, usia 73 tak halang Fauziah Nawi sambung Master di USM

Pelakon terkenal tanah air, Datuk Fauziah Nawi, 73, mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan beliau kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana (Master) dalam bidang seni di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Perkongsian itu menjadi tular selepas beliau memuat naik gambar memegang kad pelajar di platform Threads, sekali gus memberi inspirasi kepada orang ramai bahawa usia bukan penghalang untuk terus belajar.
Fauziah berkata, keputusan untuk kembali bergelar pelajar bukan sekadar mengejar ilmu, tetapi didorong oleh niat untuk menunaikan hasrat dan menggembirakan arwah bapanya, Allahyarham Tuan Haji Nawi Mukri.
Ketika ditanya mengenai langkah seterusnya sama ada akan menyambung ke peringkat PhD, beliau menegaskan fokusnya kini hanya untuk menyelesaikan pengajian Master terlebih dahulu.




