Duit simpanan kahwin RM20,000 lesap dalam Tng eWallet

Touch ‘n Go (TNG) eWallet kembali menjadi perhatian selepas seorang pengguna X, Sofea, mendedahkan rakannya kehilangan hampir RM20,000 sebagai wang simpanan kahwin, selepas akaun e-dompetnya digantung.
Menurut Sofea, rakannya memilih menyimpan wang dalam aplikasi itu bagi mengelak perbelanjaan tidak sengaja melalui kad bank, namun sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diberikan berhubung isu tersebut.
Perkongsian Sofea menambah kerisauan orang ramai susulan insiden tular yang dilalui pengguna Facebook, Kauthar Rozmal, beberapa hari sebelumnya.
Beliau mendakwa akaunnya digantung tanpa notifikasi dan terpaksa membuat laporan polis, selain berkongsi pengalaman individu lain yang mendakwa mengalami nasib sama.
TNG eWallet bagaimanapun sebelum ini mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa penggantungan hanya berlaku apabila sistem mengesan aktiviti yang melanggar syarat platform atau berisiko menjejaskan keselamatan.
Syarikat itu menegaskan setiap pengguna dibenarkan memiliki satu akaun sahaja dan tindakan boleh diambil jika maklumat pendaftaran tidak tepat atau disyaki mengelirukan, termasuk merujuk kes kepada pihak berkuasa.




