Lebih 120,000 kamera digodam jadi bahan lucah, antaranya bilik persalinan dan studio pilates

Lebih 120,000 kamera yang disambung dengan internet di rumah dan premis perniagaan di Korea Selatan digodam untuk tujuan bahan lucah.
Polis menahan empat individu yang dipercayai menggodam kamera jenis Internet Protocol (IP) dengan memanfaatkan kata laluan lemah dan kelemahan keselamatan lain sebelum menyebarkan rakaman ke sebuah laman web luar negara.
Kamera IP, yang lebih murah berbanding CCTV, banyak digunakan untuk keselamatan rumah atau memantau kanak-kanak dan haiwan peliharaan, malah ia turut melibatkan bilik karaoke, studio pilates dan klinik.
Antara suspek, seorang dipercayai menggodam 63,000 kamera dan menghasilkan lebih 500 video eksploitasi seksual yang dijual menggunakan aset maya, manakala seorang lagi didakwa menembusi akses 70,000 kamera dan menjual ratusan video terlarang.
Pihak berkuasa kini bekerja sama dengan agensi antarabangsa untuk menutup laman berkenaan, selain menahan beberapa individu yang membeli dan menonton video tersebut.



