Enam lelaki India ditahan bantu siasatan kes bunuh di Puchong

Polis menahan enam lelaki warga India bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang dipercayai dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong, Serdang, semalam.
Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, semua suspek merupakan rakan serumah kepada individu yang dipercayai menjadi suspek utama dalam kes berkenaan.
Siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut membantu polis mengenal pasti suspek utama.
Setakat ini, keterangan empat saksi termasuk pengadu telah diambil bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa, lelaki warga India berusia 49 tahun yang sudah menetap di Malaysia selama 19 tahun dan bekerja sebagai juruelektrik, ditemui tidak sedarkan diri di tangga bangunan berkenaan sekitar jam 7 malam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.



