Gaji RM4,000 sebulan, 16 pekerja ‘job scam’ sasar mangsa Ecuador ditahan di Melaka

Polis Melaka menahan 16 individu termasuk 10 warga asing dalam serbuan di sebuah premis di Taman Paya Rumput Perdana, Tanjung Minyak, yang dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian menyasarkan mangsa di Ecuador.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata semua suspek berusia antara 16 hingga 38 tahun itu bekerja sebagai operator panggilan dan menerima gaji RM4,000 sebulan daripada ketua sindiket.
Sindiket berkenaan menipu mangsa melalui laman sesawang palsu dengan menjual barangan seperti pakaian dan jam tangan, sebelum memperdaya mereka membuat pembelian berulang atas alasan memperoleh keuntungan bersama. Transaksi dilakukan sepenuhnya dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$).
Polis turut merampas peralatan komputer bernilai kira-kira RM20,000, termasuk 16 CPU, 32 monitor, modem dan penghala internet. Semua suspek direman empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, serta Akta dan Peraturan Imigresen berkaitan.
Dzulkhairi turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran kerja dalam talian yang mencurigakan bagi mengelak terjebak dalam aktiviti penipuan.




