Hubungan guru dan pelajar 17 tahun terbongkar, polis tahan wanita 30-an

Seorang guru wanita berusia 30-an ditahan polis selepas didakwa menjalin hubungan terlarang dengan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun sejak tahun lalu.
Menurut sumber, guru berkenaan didakwa beberapa kali membawa pelajar itu ke sebuah hotel di Seri Kembangan dan kediamannya selepas pada awalnya mengajaknya keluar berjalan-jalan serta makan.
Guru itu turut didakwa melakukan perbuatan seksual dan merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.
Perkara itu terbongkar pada Isnin lalu selepas keluarga pelajar dan pihak sekolah mengetahui mengenai hubungan berkenaan serta menemui video yang dirakam. Susulan itu, pelajar dan pihak sekolah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Polis kemudian menahan guru terbabit di sekitar Bandar Kinrara pada kira-kira 10.30 malam, Isnin lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala pihak polis belum memberikan pengesahan lanjut setakat laporan ini diterbitkan.




