IKLIN dinaik taraf sebagai pusat Kecemerlangan Perpaduan Negara

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengumumkan langkah memperkasa Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) sebagai Pusat Kecemerlangan Perpaduan bagi memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif ini selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam membina negara bangsa yang lebih inklusif dan stabil.
Menurut beliau, pendekatan lebih strategik dan berasaskan data diperlukan bagi menangani cabaran semasa yang semakin kompleks, termasuk isu berkaitan keharmonian sosial dan perpaduan rakyat.
Antara langkah utama yang akan dilaksanakan termasuk merangka pelan tindakan komprehensif untuk memantau isu berbaur kebencian, menubuhkan pusat penyelidikan perpaduan berimpak tinggi, serta memperkukuh peranan IKLIN sebagai pusat rujukan strategik kepada kerajaan.




