Lelaki 21 tahun mabuk, rempuh masuk pintu keselamatan Istana Negara

Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan selepas merempuh palang keselamatan Pintu 2 Istana Negara di Jalan Changkat Semantan, awal pagi tadi, ketika memandu kereta jenis Toyota Vios di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 3.30 pagi.
Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu dari arah Bukit Damansara itu merempuh bollard pole dan barrier gate pintu keselamatan berkenaan.
Pemandu tidak mengalami kecederaan, namun kejadian menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kereta dan palang keselamatan.
Ujian pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166mg/100ml, melebihi had dibenarkan.
Kes dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum pemandu diarahkan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada jam 11 pagi ini mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



