Dunia
Indonesia hasilkan kereta tempatan bermula 2027

Indonesia merancang untuk mengeluarkan kereta jenama tempatan secara besar-besaran mulai 2027.
Ia satu langkah yang disifatkan pakar sebagai sangat mencabar kerana memerlukan pelaburan berterusan dan kepakaran teknikal yang masih perlu diperkukuh.
Projek ini dipacu syarikat pertahanan milik kerajaan, PT Pindad, yang baru-baru ini memeterai kerjasama dengan Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional bagi membangunkan ekosistem industri, menjalankan penyelidikan bersama serta meningkatkan kapasiti tenaga mahir.
Usaha menghasilkan prototaip kereta nasional ini juga merupakan arahan Presiden Prabowo Subianto bagi mempercepat pembangunan industri domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada produk luar negara.




