Kedai makan simpan alpaka didenda RM10,250, nafi zalimi haiwan bernilai RM23,000

Sebuah restoran mi segera di Jalan Bunga Raya, Kampung Jawa, Melaka yang menempatkan pelbagai haiwan termasuk seekor alpaka dikenakan tindakan tegas selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan kotor dan berbau najis.
Dalam operasi tengah malam Isnin, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengarahkan restoran itu ditutup tujuh hari untuk kerja pembersihan.
Pemilik berusia 31 tahun, berstatus penduduk tetap (PR) Singapura, turut dikompaun RM10,250 iaitu RM10,000 di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 serta RM250 kerana melanggar Undang-undang Kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020.
Lelaki warga Singapura berusia 31 tahun itu berkata, dia mempunyai sepasang alpaka yang dibeli pada harga RM43,000 namun hanya alpaka jantan dinamakan Jenter berusia 10 bulan itu dipamerkan di restoran manakala pasangannya disimpan di rumah.
Ketika pemeriksaan, beberapa haiwan termasuk angsa, itik dan kambing dibiarkan berkeliaran dengan najis serta air kencing bertaburan di lantai hingga menimbulkan suasana kotor dan menjijikkan.
Terdahulu tular di platform TikTok Telus Malaysia apabila alpaka itu yang didakwa murung sehingga mengundang kecaman netizen yang tidak sampai hati melihat haiwan itu idak ditempatkan dalam kawasan habitatnya.



