
Kekasih kepada pelakon popular Tiz Zaqyah akhirnya tampil secara terbuka apabila seorang lelaki dengan nama akaun Nas Amer di Threads memuat naik beberapa gambar mesra bersama Tiz sambil memohon doa orang ramai agar urusan mereka mendirikan rumah tangga dipermudahkan.
Perkongsian itu sekali gus menjawab teka-teki netizen mengenai siapakah jejaka yang bakal menjadi suami kepada pelakon drama Nur Kasih itu, selepas Tiz sebelum ini mengumumkan akan menamatkan zaman bujangnya tahun depan.
Tiz, 37, sebelum ini mendedahkan bakal berkahwin dengan kenalan lama yang dikenalinya sejak darjah satu dan tinggal di kawasan perumahan sama.
Hubungan mereka dikatakan mula serius sejak setahun lalu dan mendapat restu kedua-dua keluarga.
Pelakon yang terkenal dengan keperibadian tenang itu juga sebelum ini menyifatkan pertemuan semula dengan jejaka berkenaan sebagai “susunan cantik Allah” dan berharap agar orang ramai terus mendoakan kebahagiaan mereka.




