Model Rusia jadi ‘bahan’ sembang lucah pempengaruh buat laporan polis

Model warga Rusia, Alice Kasimova, tampil membuat laporan polis selepas menjadi mangsa rakaman siaran langsung seorang pempengaruh lelaki yang bersembang lucah mengenai dirinya ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di Kuala Lumpur.
Alice menjelaskan, dia mengambil tindakan itu selepas menerima nasihat daripada rakan dan orang ramai yang bimbang akan keselamatannya.
Menurutnya, menjadi model dan berpakaian mengikut keselesaan bukan lesen untuk sesiapa merakam tubuh wanita tanpa izin atau membuat komen berbaur lucah.
Insiden itu tular selepas lelaki berkenaan dirakam membuat jenaka lucah ketika Alice sedang makan, sehingga mengundang kecaman hebat netizen yang menganggap perbuatannya memalukan dan tidak menghormati wanita.
Alice dalam pada itu berkata, hukuman penjara mungkin terlalu berat untuk lelaki tersebut selepas dikecam ramai dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan yang diterima sejak kejadian itu tular, serta menyifatkan rakyat Malaysia sebagai penyayang dan penuh rasa hormat.




