Kerjasama Lego Ferrari dan Legoland Malaysia, ‘Build & Race’ tarikan pertama di Asia
Legoland Malaysia Resort bakal menambah keterujaan pengunjung apabila mengumumkan kerjasama eksklusif dengan LEGO Ferrari untuk tarikan Build & Race pertama di Asia yang dijangka dibuka pada suku keempat 2025.
Naib Presiden Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, tarikan ini bukan sahaja akan menambah nilai kepada destinasi pelancongan negara malah meletakkan Malaysia sebagai sebahagian daripada nilai global Legoland.
Tarikan baharu itu akan menggabungkan warisan perlumbaan legenda Ferrari dengan kreativiti permainan LEGO, membolehkan pengunjung membina, menguji dan berlumba dengan kereta Ferrari LEGO ciptaan mereka sendiri dalam pengalaman interaktif yang belum pernah ditawarkan di rantau ini.
Bagi meraikan pengumuman itu, Legoland Malaysia mengadakan pameran khas di Pavilion Bukit Jalil bermula 12 hingga 21 September menampilkan pelbagai aktiviti bertema Ferrari untuk seisi keluarga.
Antara aktiviti di pameran itu termasuk zon Build & Race di mana pengunjung boleh mencipta dan melumba kereta LEGO mereka, permainan trivia, hadiah eksklusif bernilai hingga RM2,000, serta peluang bergambar dengan latar bertema Ferrari dan maskot Ollie berpakaian perlumbaan.




