Kes influenza meningkat, 514 kes baharu dikesan di Kelantan, Selangor naik lebih 80 peratus

Kes influenza menunjukkan peningkatan ketara di beberapa negeri dengan lebih 500 jangkitan baharu direkodkan di Kelantan dan lonjakan melebihi 80 peratus di Selangor dalam tempoh seminggu.
Di Kelantan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin, mengesahkan sebanyak 514 kes influenza dicatatkan melibatkan lima kluster sekolah berasrama, dengan kebanyakan pesakit hanya mengalami gejala ringan dan tiada kematian dilaporkan.
Penularan aktif dalam komuniti bagaimanapun dikesan apabila jumlah pesakit yang hadir ke klinik meningkat sejak minggu epidemiologi ke-40.
Sementara itu di Selangor, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan, sebanyak 1,128 kes influenza dilaporkan setakat 27 September berbanding 602 kes minggu sebelumnya, dengan peningkatan melebihi 80 peratus.
Lebih separuh daripada jangkitan dikesan berpunca daripada institusi pendidikan, termasuk prasekolah dan sekolah menengah.
Setakat ini, tiada sekolah di kedua-dua negeri diarahkan tutup, namun pihak berkuasa kesihatan menasihatkan agar pelajar dan individu bergejala memakai pelitup muka serta menjalani pengasingan sementara bagi mengelak penularan lanjut.




