KPKT rekod dua pencapaian MBOR menerusi Hari Cuci Malaysia, lebih 100,000 peserta gotong-royong terlibat!

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencatat sejarah baharu apabila berjaya merekodkan dua pencapaian dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Rekod pertama membabitkan penyertaan gotong-royong teramai dengan 100,817 peserta di seluruh negara, mengatasi rekod tahun lalu iaitu 58,007 orang.
Rekod kedua pula adalah pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak dalam sehari dengan jumlah 27,679.31 kilogram, bernilai RM79,684.56, melibatkan 10 negeri termasuk Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Selain itu, HCM 2025 turut mengutip 6,462 tan metrik sisa pepejal merangkumi plastik, kayu, tekstil, kertas dan sisa kebun yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan serta syarikat konsesi.
Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Datuk Mohd Zamri Mat Zain sebagai simbol pencapaian bersejarah program kebersihan nasional itu.




