Video keselamatan MAS serlah wajah unik hospitaliti Malaysia kepada dunia

Video keselamatan terbaharu Malaysia Airlines (MAS) mencuri perhatian ramai apabila berjaya menggabungkan mesej keselamatan penerbangan dengan keindahan budaya serta warisan negara dalam persembahan yang lebih classy, minimal dan menenangkan.
Muzik latar yang menggunakan instrumen tradisional Malaysia memberi sentuhan segar, manakala visualnya menampilkan lokasi ikonik seperti Masjid Putra, Batu Caves, Jalan Petaling dan panorama Kuala Lumpur.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata ia secara tidak langsung memperlihatkan kekuatan sebenar Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian warisan budaya dan perpaduan.
Katanya, elemen ini bukan sahaja menyampaikan arahan keselamatan dengan jelas, tetapi turut memperlihatkan wajah sebenar hospitaliti Malaysia di mata dunia.
Diterbitkan oleh Reservoir Productions dengan kerjasama pasukan kreatif tempatan, video berdurasi 4 minit 21 saat ini menerima reaksi positif warganet yang memuji pendekatannya lebih ringkas, kemas dan mudah difahami berbanding versi terdahulu.
MAS dalam kenyataannya turut menegaskan usaha ini selaras dengan persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mengangkat identiti Malaysia melalui pengalaman penerbangan.



