Kru kabin AirAsia boleh pilih untuk pakai hijab bermula Ramadan 2026

AirAsia memperkenalkan polisi baharu yang membenarkan semua kru kabin wanita memilih untuk memakai hijab ketika bertugas, sekali gus menambah fleksibiliti kepada pakaian seragam ikonik syarikat penerbangan itu.
Pilihan ini sebelum ini hanya digunakan di laluan tertentu seperti Jeddah, namun kini diperluas ke seluruh rangkaian bagi memenuhi keperluan tenaga kerja pelbagai budaya dan kepercayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, berkata langkah ini sejajar dengan perkembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global yang meraikan kepelbagaian.
Ia termasuk memberikan ruang kepada kakitangan untuk berpenampilan profesional dan selesa selaras dengan kepercayaan masing-masing.
Seragam merah AirAsia akan kekal dengan penambahan pilihan hijab dan seluar yang mengikut reka bentuk profesional sedia ada. Pelaksanaan penuh dijangka bermula pada Ramadan 2026.




