Lebih 240 penyertaan bagi AKeMedia 2025, kerjasama KPKT dan media terus kukuh

Isu-isu melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semakin menjadi perhatian pengamal media selepas terdapat peningkatan jumlah penyertaan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia).
Menteri KPKT, Nga Kor Ming, menegaskan bahawa hubungan erat ini selaras dengan komitmen kementerian untuk memastikan komunikasi dua hala terus menjadi asas penyampaian maklumat kepada rakyat.
Selari dengan prinsip “Open Mind, Open Door, Open Heart”, KPKT menekankan bahawa kementerian sentiasa terbuka menerima pandangan, teguran dan cadangan media.
“Kerjasama erat antara Media dan Kerajaan menjadi semakin penting terutamanya dalam membina ekosistem komunikasi yang lebih matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Majlis AKeMedia 2025 yang berlangsung di KL pada Isnin menghimpunkan lebih 200 pengamal media dari organisasi arus perdana dan digital.
Acara itu turut menampilkan pengiktirafan kepada Unit Komunikasi Korporat KPKT yang meraih Anugerah Penarafan Platinum Pengurusan Aduan, melambangkan usaha berterusan kementerian mendengar suara rakyat dan memperkukuh kepercayaan awam.



