Lori tidak turunkan ‘bucket’ belakang disita polis

Polis menyita sebuah lori yang tular di media sosial selepas bahagian belakang bucket tidak diturunkan hingga melanggar tiang lampu isyarat di Kilometer 44, Jalan Johor Bahru–Batu Pahat, Pekan Nanas, Pontian, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussien memaklumkan, tindakan itu diambil selepas pemandu lori berusia 53 tahun membuat laporan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.50 petang ketika lori bergerak dari arah Pontian ke Pekan Nanas.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah teknikal kenderaan. Rakaman percakapan pemandu dan majikan akan diambil, manakala lori disita bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




