Lubang benam di Singapura: Semua projek pembangunan digantung sementara

Agensi Air Nasional Singapura (PUB) menggantung sementara semua projek pembinaan pembetungan di seluruh negara susulan kejadian lubang benam berhampiran tapak projek di Tanjong Katong Road South pada Sabtu lalu.
Kejadian berlaku apabila struktur cincin caisson pada sebuah aci sedalam 16 meter gagal berfungsi, menyebabkan lubang benam terbentuk di jalan bersebelahan.
Seorang wanita yang memandu kereta terperangkap selepas kenderaannya terjatuh ke dalam lubang tersebut, namun sempat keluar dan diselamatkan pekerja tapak.
Tanah di kawasan berkenaan telah distabilkan menggunakan tanah khas sebelum kerja pemulihan dijalankan. Pemeriksaan radar dan penilaian lanjut masih diteruskan, manakala bangunan dan rumah berdekatan disahkan selamat oleh pihak berkuasa.




