
Kerajaan India merancang untuk mewajibkan pengeluar telefon pintar menyerahkan kod sumber peranti kepada pihak berkuasa serta melaksanakan perubahan besar pada perisian menerusi 83 piawaian keselamatan baharu yang dicadangkan.
Langkah itu bertujuan memperketat keselamatan data pengguna dan membanteras penipuan dalam talian, namun ia mencetuskan kebimbangan serius industri teknologi global.
Syarikat utama seperti Apple dan Samsung dilaporkan menentang cadangan tersebut kerana dianggap melampaui keperluan keselamatan yang diamalkan di negara lain serta berisiko menjejaskan perlindungan harta intelek.
Selain akses kepada kod sumber, cadangan itu turut merangkumi keperluan memaklumkan kerajaan mengenai sebarang kemas kini perisian, penyimpanan log penggunaan peranti sehingga 12 bulan, serta keperluan kelulusan kerajaan sebelum tampalan keselamatan dilepaskan kepada pengguna.
Pemain industri memberi amaran langkah berkenaan boleh melambatkan pengedaran kemas kini kritikal, membebankan storan peranti pengguna, serta membuka ruang kepada risiko pelanggaran privasi.




