Malaysia minta tolong Turki bawa pulang 23 aktivis GSF – Anwar

Malaysia sedang berusaha membawa pulang 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia memohon bantuan Turki supaya pesawat khas yang digunakan membawa pulang rakyat Turki dari Israel ke Istanbul turut menempatkan rakyat Malaysia.
Selain itu, Malaysia turut menggerakkan saluran diplomasi dengan Qatar, Amerika Syarikat dan negara sahabat lain bagi mempercepatkan rundingan pembebasan.
Anwar menjangkakan proses membawa pulang aktivis berkenaan mengambil masa dua hingga tiga hari sekiranya semua persetujuan berjalan lancar.
Kementerian Luar mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia terbabit berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.



