MSU anjur pesta pembelajaran, lebih 3,000 pelajar teroka peluang pendidikan dan kerjaya

Pesta Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Panduan Kerjaya MSU berlangsung pada 31 Julai dan 1 Ogos di Dewan Canselor, Universiti MSU. Pameran itu dirasmikan oleh Presiden dan Pengasas MSU, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, dengan penyertaan lebih 130 booth fizikal dan dalam talian.
Lebih 3,000 pelajar hadir sepanjang dua hari penganjuran bagi meneroka peluang melanjutkan pengajian serta prospek kerjaya.
Vanakkam Malaysia turut menyertai pameran itu menerusi reruai khas bagi memperkenalkan peluang kerjaya dalam industri media, selain mempromosikan platform berita digital Telus Malaysia serta aplikasi penstriman OTT, Vanakkam Max.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Vanakkam Malaysia, Thiaga Rajan Muthusamy, turut berkongsi kepentingan penguasaan kemahiran komunikasi dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan atau AI dalam industri media.
Sementara itu, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, penganjuran pameran ini penting dalam menghubungkan pelajar dengan industri serta membantu mereka membuat persediaan ke alam pekerjaan melalui peluang jaringan, latihan industri dan kerjaya.




