Niat banggakan ibu bapa dapat kerja pramugari, wanita menyamar jadi kru kabin Batik Air ditahan

Seorang wanita dikenali sebagai Nisya menjadi tular di media sosial selepas ditahan kerana berpakaian seperti pramugari ketika menaiki pesawat Batik Air dari Palembang ke Jakarta, dipercayai untuk meyakinkan ibu bapanya bahawa dia sudah bekerja.
Wanita berusia 23 tahun itu memakai seragam lengkap menyerupai kru kabin dan menggunakan laluan khas kru, sebelum berjaya masuk ke dalam pesawat menggunakan tiket sah sebagai penumpang biasa.
Helahnya terbongkar apabila jawapan diberikan kepada kru didapati tidak konsisten, sekali gus mencetuskan kecurigaan.
Setibanya pesawat di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, petugas keselamatan sudah menunggu dan menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
Siasatan mendapati Nisya bukan pramugari, pernah memohon jawatan berkenaan tetapi gagal, dan bertindak sedemikian kerana malu dengan keluarganya. Pakaian pramugari yang dipakai pula dibeli secara dalam talian.




