Patut ramai serbu, rupanya kedai tayar di Kota Kemuning jual murah tanpa cukai

Sebuah kedai tayar popular di Kota Kemuning yang sering menjadi tumpuan kerana menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran, terbongkar rupa-rupanya terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan pemalsuan dokumen.
Premis itu antara 23 lokasi diserbu dalam Ops Grip oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Serbuan mendapati ribuan tayar disimpan dalam gudang kontena yang disusun bertingkat menyerupai menara.
Kedai berkenaan didapati menjadi pilihan ramai kerana mampu menjual tayar import serendah RM650 seunit, sedangkan harga di pasaran mencecah RM750 ke atas.
Siasatan mendapati kemasukan tayar import mencecah 300 kontena setahun, sebahagiannya tidak selamat digunakan. Kegiatan itu bukan sahaja menimbulkan risiko keselamatan jalan raya, malah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian hasil dianggarkan RM70 juta setahun.




