Penangan komentator Hari Merdeka, makin ramai anak muda ingin sertai TUDM – Kapt Syed

Kemunculan Kapten Syed Muhammad Syahmi Syed Salim Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pegawai PS 3 Sekretariat C, Markas Tentera Udara, sebagai komentator rasmi sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini berjaya mencuri perhatian ramai.
Anak kelahiran Taiping, Perak yang sudah berkhidmat selama 13 tahun itu nyata membuka mata anak muda terhadap peluang kerjaya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurutnya, penampilan beliau yang menjadi perisa keterujaan orang ramai di pentas siaran langsung bukan sekadar penghargaan, tetapi juga peluang untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang keunikan TUDM.
Kapten Syed pada masa sama menolak tanggapan anak muda bahawa kehidupan tentera itu keras dan tidak seimbang yang mana beliau menjelaskan bahawa konsep ‘work-life balance’ turut diterapkan dalam budaya kerja TUDM.
Menyentuh pengalamannya sebagai komentator sempena Hari Kebangsaan, beliau menyifatkannya sebagai antara momen paling bermakna sepanjang perkhidmatan.
Kapten Syed turut mendedahkan pihaknya menerima banyak maklum balas positif selepas setiap kali acara penting melibatkan barisan pertahanan negara, sekali gus memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk menyertai pasukan udara negara.
Tambahnya lagi, laluan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbuka luas kepada anak muda melalui dua skim utama, iaitu pengambilan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi lepasan SPM dan skim pegawai graduan bagi pemegang ijazah daripada universiti awam atau swasta.
Jelas Kapt Syed, TUDM sentiasa terbuka kepada semua kaum dan latar belakang, dengan peluang kerjaya yang luas mengikut kepakaran masing-masing sambil menekankan bahawa tentera bukan sekadar kerjaya, tapi satu panggilan untuk berbakti kepada negara.




