PERNAS rasmikan Program SOORIAN, dorong penyertaan komuniti India dalam francais

Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) melancarkan Program SOORIAN, satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memperkasa penyertaan komuniti India dalam bidang keusahawanan francais.
Program SOORIAN disasarkan kepada 1,000 peserta di seluruh negara, melibatkan 20 bakal francaisor, 100 bakal francaisi, 400 usahawan kecil dan 500 peserta penempatan kerja.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, program itu merupakan langkah strategik sejajar dengan Agenda MADANI dan Dasar Keusahawanan Negara 2030, yang menekankan keterangkuman sosial serta peluang ekonomi saksama untuk semua lapisan masyarakat.
Program itu turut disokong dengan peruntukan dana RM54.5 juta, meliputi lima komponen utama iaitu Latihan Asas Francais, Kesedaran Halal, Penempatan Industri, Pembangunan Francaisor dan Akses Pembiayaan.
PERNAS sebelum ini turut melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Be Your Own Boss (BYOB), Business in Transformation (BIT) dan Xcelerator, namun SOORIAN dilihat melengkapkan usaha tersebut dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan mampan.




