Lalaport BBCC dipilih hab bas ekspres di KL, mudahkan perjalanan pelancong Singapura

Lalaport Bukit Bintang City Centre bakal menerima kelulusan rasmi sebagai hab pengangkutan awam berlesen, dengan Kementerian Pengangkutan menyasarkan lesen dikeluarkan seawal Februari.
Menurut Menteri, Anthony Loke, Lalaport dikenal pasti sebagai lokasi paling bersedia berbanding tapak lain yang masih memerlukan naik taraf kemudahan.
Kelulusan tertakluk kepada pematuhan syarat pelesenan termasuk kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala APAD bersedia mengeluarkan lesen sebaik semua keperluan dipenuhi.
Beberapa pengendali bas ekspres Kuala Lumpur–Singapura telah mula beroperasi dari Lalaport, dengan lebih banyak pengendali dijangka berpindah secara berperingkat, khususnya yang sebelum ini berhenti di Berjaya Times Square dan Corus Hotel yang dianggap tidak sesuai atas faktor keselamatan dan kesesakan trafik.
Lalaport direka khusus untuk perkhidmatan KL–Singapura bagi menarik pelancong terus ke pusat bandar, berbeza dengan Terminal Bersepadu Selatan dan Terminal Bersepadu Gombak yang memberi tumpuan kepada laluan domestik jarak jauh.



