Penganggur bunuh, simpan mayat isteri di bilik tidur direman 7 hari

Seorang penganggur direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya.
Perintah reman dikeluarkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diteruskan.
Kes itu terbongkar selepas lelaki berusia 28 tahun berkenaan membuat laporan polis, sebelum pihak berkuasa menemui mayat isterinya di bilik tidur rumah mereka di tingkat dua pangsapuri tersebut.
Mangsa berusia 44 tahun ditemui lengkap berpakaian, dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris berkata pasukan forensik menemukan pisau yang dipercayai digunakan suspek dan telah mengambil sampel berkaitan untuk analisis. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian. Orang awam turut diingatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.




