Malaysia
Penumpang pengsan jatuh ke landasan, operasi LRT terganggu

Seorang penumpang terjatuh ke landasan di Stesen LRT Wangsa Maju pagi tadi selepas dipercayai pengsan, menyebabkan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya terganggu seketika.
Kejadian kira-kira jam 6.52 pagi itu menyebabkan sistem kecemasan hentian landasan diaktifkan, manakala bekalan elektrik ke landasan diputuskan sementara bagi tujuan keselamatan.
Penumpang berkenaan berjaya diselamatkan oleh petugas stesen dan dibawa ke bilik kecemasan untuk mendapatkan rawatan awal.
Rapid KL menasihatkan penumpang yang berasa tidak sihat supaya mendapatkan bantuan petugas stesen atau polis bantuan serta sentiasa berada di belakang garisan kuning ketika menunggu tren.




