Cari rotan dalam hutan, lelaki maut dibaham harimau di Perak

Hasrat seorang lelaki mencari rotan di kawasan hutan berakhir tragedi apabila dia dipercayai diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor, Perak, pada Isnin.
Mangsa, Zamberi Angah, 42, yang merupakan Orang Asli, ditemukan tidak bernyawa kira-kira jam 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak. Lokasi mayat ditemukan kira-kira 200 meter dari tempat dipercayai serangan berlaku.
Kejadian dipercayai berlaku ketika Zamberi bersama seorang rakannya masuk ke Hutan Simpan Korbu untuk mencari rotan. Pemeriksaan menemukan kesan gigitan pada tengkuk, kesan makan pada bahagian lutut hingga paras pinggang, selain kesan pergelutan, darah, tapak kaki harimau serta serpihan pakaian mangsa.
Operasi mencari mangsa disertai Perhilitan, polis, APM, RELA, penduduk kampung dan pekerja balak.
Perhilitan akan membantu waris mendapatkan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar, manakala perangkap harimau akan dipasang dalam masa terdekat.




