Warga asing beli MyKad palsu RM300 untuk dapat kerja kilang

Warga asing dikesan membeli MyKad palsu pada harga sekitar RM300 untuk mendapatkan pekerjaan, susulan serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang elektronik di Telok Panglima Garang, malam tadi.
Operasi bermula jam 7.30 malam itu dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membanteras pemalsuan dokumen pengenalan serta penyalahgunaan MyKad.
Seramai 15 wanita warga Indonesia ditahan, termasuk dua individu yang mengaku memperoleh MyKad palsu atau menggunakan salinan MyKad milik orang lain untuk bekerja di kilang berkenaan.
Mereka dipercayai mendapatkan dokumen itu melalui ejen selepas gagal memperoleh pekerjaan seperti dijanjikan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan operasi tersebut hasil risikan selama tiga minggu.
Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, selain siasatan lanjut oleh JIM mengikut Akta Imigresen 1959/63.



