Malaysia
Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut jatuh tingkat tujuh pangsapuri di Kajang

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Taman Sepakat Indah 2, Kajang, Selangor, pada awal pagi tadi.
Kejadian berlaku di Blok AB, Apartmen Sri Lavender dan dilaporkan kepada pihak polis melalui panggilan kecemasan MERS 999 sekitar jam 7.12 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof, pasukan perubatan yang tiba di lokasi telah melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana wujud unsur pengabaian.




