Pernas bantu pelajar asnaf tiga sekolah di Temerloh buat persiapan akhir SPM

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Jejak Cemerlang 2025, yang kali ini diperluas ke kawasan luar bandar dengan membantu pelajar asnaf dari tiga sekolah di daerah Temerloh.
Program tersebut memberi tumpuan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui sesi bimbingan akademik, teknik menjawab soalan dan motivasi bagi meningkatkan keyakinan serta persediaan menjelang peperiksaan melibatkan SMK Datuk Bahaman, SMK Lanchang dan SMK Bukit Damar.
Selain itu, Pernas turut menyampaikan sumbangan alat tulis kepada pelajar asnaf bagi meringankan beban mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib, berkata inisiatif ini selaras dengan komitmen syarikat membantu memperkasakan pelajar luar bandar agar mereka menerima peluang bimbingan setara dengan sekolah bandar.
Beliau turut menyatakan harapan agar ketiga-tiga sekolah berkenaan dapat mencapai peningkatan keputusan seperti sekolah angkat Pernas sebelum ini, SMK Seri Pantai.
Program Jejak Cemerlang, yang bermula sejak 2015, menjadi platform utama Pernas dalam menyokong pembangunan akademik pelajar sekolah menengah, termasuk melalui inisiatif lain seperti Program Back to School dan sumbangan cermin mata percuma kepada pelajar keluarga berpendapatan rendah.



