Pintu masuk Malaysia dari Singapura dijangka lebih sesak teruk susulan keselamatan lebih ketat

Malaysia dijangka melaraskan kawalan di pintu masuk darat dengan Singapura susulan langkah negara jiran itu yang telah mengetatkan pemeriksaan keselamatan sejak akhir Februari lalu.
Langkah ini dibuat selepas pihak berkuasa Singapura meningkatkan pemeriksaan ke atas pelancong, kenderaan dan kargo di semua pintu masuk, berikutan situasi keselamatan global yang semakin tegang.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Malaysia menghormati keputusan tersebut dan perlu menyesuaikan kawalan di pihaknya.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pelarasan ini akan melibatkan semua pintu masuk negara atau hanya laluan darat antara Malaysia dan Singapura.
Dalam masa sama, rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.




