Pusat pemeriksaan Woodlands dijangka terus sesak, tunggu lebih tiga jam susulan kawalan ketat

Aliran trafik menuju ke pusat pemeriksaan darat Woodlands, Singapura, dilaporkan sesak luar biasa selepas pihak berkuasa memperketatkan pemeriksaan keselamatan di semua pintu masuk negara itu.
Kesesakan panjang berlaku di Tambak Johor dengan ada pemandu mengambil masa lebih tiga jam untuk melepasi imigresen.
Media sosial dipenuhi perkongsian pengguna yang memaparkan barisan kenderaan bergerak perlahan dan tidak bergerak dalam tempoh lama.
Pihak Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura memaklumkan langkah keselamatan dipertingkatkan bermula 28 Februari susulan situasi keselamatan global dan perkembangan di Asia Barat.
Pemeriksaan lebih ketat melibatkan pelancong, kenderaan serta kargo, dan orang ramai dinasihatkan supaya menjangka kelewatan serta merancang perjalanan lebih awal.




